Sunday, May 3, 2009

Jumlah guru Sarawak terlalu rendah, Ghani Bin


Kementerian Pelajaran digesa menambah kuota pengambilan guru pelatih dari Sarawak bagi menambah jumlah guru terlatih di kalangan orang tempatan di negeri ini.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina berkata, pengambilan guru pelatih dari negeri ini masih terlalu rendah iaitu hanya 2.43 atau 152 pelatih berbanding negeri-negeri lain yang jauh lebih tinggi.

Berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) STU Miri di sebuah hotel hari ini beliau berkata, daripada 6,267 permohonan dari Sarawak, hanya 152 diterima masuk ke maktab perguruan.

“Isu pemberian kuota yang terlalu rendah ini bukan sahaja menjadi kepentingan bagi STU malah Kerajaan Negeri. Justeru kita mahu kementerian memberi pertimbangan untuk menambah jumlah pelatih dari Sarawak,” katanya.

William Ghani menambah, isu ini sudah dibincangkan bersama pegawai dan pengarah dari kementerian pendidikan negeri.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (Bahagian Maktab Perguruan) di setiap negeri agar memperuntukan 50 peratus pengambilan untuk orang tempatan.

“Saya cadangkan 50 peratus pengambilan guru terlatih di setiap negeri diberikan kepada penduduk tempatan manakala separuh daripadanya diberikan kepada guru dari negeri-negeri lain,” ujarnya.

Dalam konteks ini, katanya orang awam harus diberi keutamaan kerana mereka lebih komited dan arif mengenai selok-belok mengajar di Sarawak.

“Rakyat Sarawak harus diberi keutamaan kerana mereka lebih fokus dan komited untuk menjalankan tugas walaupun ditempatkan di kawasan pedalaman.”

“Mereka tidak perlu memikirkan sepanjang masa untuk pulang ke negeri masing-masing kerana mereka orang tempatan. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran,” tegas beliau lagi.

Sumber : SarawakUpdate