|
|
United memerlukan hanya satu mata untuk menjulang kejuaraan dan keputusan seri sudah memadai dan menutup peluang pasukan tangga kedua Liverpool, yang ketinggalan tujuh mata ketika masih tinggal dua perlawanan.
Ini bermakna United telah menjulang 11 kejuaraan liga dalam tempoh 17 musim di bawah pengurus Alex Ferguson dan kini menyamai rekod Liverpool muncul juara liga sebanyak 18 kali.
Ferguson telah memenangi 25 trofi kejohanan utama sejak tiba di kelab itu pada 1986 dan berharap dapat menambah kepada 26 trofi apabila United berdepan Barcelona pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Rome pada 27 Mei ini.
Ketika sentuhan gol skuad Ferguson dikemudi oleh Cristiano Ronaldo dan prestasi terbaik oleh penyerang Wayne Rooney dan Carlos Tevez, United juga kukuh di bahagian pertahanan dengan penjaga gol Edwin van der Sar yang mencatat rekod bola sepak liga England apabila melalui 1,311 minit perlawanan tanpa melepaskan gol.
United goyah pada April lalu apabila kalah 1-4 di tempat sendiri kepada Liverpool, disusuli 0-2 di Fulham sebelum memulakan rentak kemenangan untuk meninggalkan musuh ketatnya itu.
Begitupun, agak mengejutkan kerana pada perlawanan, semalam skuad Ferguson beraksi di bawah keupayaan terbaik mereka tanpa banyak mengancam kubu Arsenal.
Arsenal tiba di Old Trafford untuk bersaing merebut tempat ketiga liga, dan skuad Arsene Wenger jelas berhajat untuk merosakkan hasrat United menjulang kejuaraan lebih awal dengan mengambil kesempatan daripada aksi gugup United menerusi beberapa percubaan walaupun berkesudahan tanpa jaringan babak pertama.
Robin van Persie, yang tidak dikawal melepaskan peluang terbaik untuk meletakkan pelawat di depan apabila menanduk bola hantaran silang Samir Nasri pada minit ke-13 tinggi melepasi palang walaupun dia sepatutnya mudah menjaringkan gol.
Empat minit kemudian United hampir menggegar gawang, namun tandukan Wayne Rooney hasil bola lintang Michael Carrick hanya sedikit tersasar.
Arsenal meneruskan asakan di kubu United selepas rehat dan pertahanan remaja Kieran Gibbs melakukan percubaan pada minit ke-58 namun terkena bahagian tepi gawang selepas gerakan melibatkan Barcary Sagna dan Andrey Arshavin.
United membalas menerusi Ronaldo, namun jumlah 26 gol yang dijaringkan oleh pemain itu gagal bertambah apabila percubaannya tinggi melepasi palang selepas mendapat hantaran Carlos Tevez.
Ia merupakan gerakan terakhir oleh Tevez. Tidak lama kemudian pemain antarabangsa Argentina itu dikeluarkan dan tindakan mengeluarkan Tevez diejek oleh penyokong United. -