Thursday, June 11, 2009

Wilson Baya Dandot bakal CEO RECODA


KUCHING 11 Jun - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wilson Baya Dandot untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Menurutnya, pelantikan Wilson akan mengakhiri pencarian kerajaan negeri bagi mencari individu yang sesuai untuk mengisi jawatan itu.

''Setiausaha Kerajaan Negeri ketika ini (Wilson) akan dilantik menjadi CEO RECODA selepas beliau bersara Ogos ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama ahli-ahli Lembaga Pengarah RECODA di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Januari lalu, Abdul Taib berkata, beliau sedang mencari CEO untuk RECODA menerusi sesi temuduga yang diadakan Mac lepas, dan keputusannya hanya diketahui lima bulan kemudian iaitu Ogos ini.

Katanya, rakyat Sarawak tetap diberi keutamaan bagi mengisi jawatan kosong yang ditawarkan dalam SCORE.

Sementara itu, Wilson yang turut hadir dalam sidang akhbar itu enggan mengulas mengenai pelantikannya dalam jawatan tersebut.

Wilson, berbangsa Bidayuh dilahirkan pada 2 Ogos 1951, memulakan kariernya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha dalam sektor pertanian di Unit Perancangan Negeri (SPU) pada 1973.

Selepas beliau menjadi pakar ekonomi dalam Komuniti Lada Antarabangsa di Jakarta, Indonesia dan kemudiannya sebagai Penolong Setiausaha Utama SPU pada 1983.

Antara jawatan lain yang beliau sandang ialah Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Kalaka-Saribas, Timbalan Pengarah/ Penolong Pengarah SPU, Pengarah SPU dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Wilson dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri pada 1 Januari 2007.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi pembangunan dari Universiti Sussex, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Western Australia.