Saturday, April 18, 2009

Rohani mencadangkan agar kajian proses membiak dan menyimpan benih ikan itu dijalankan segera


Oleh Aziz Drahman (Utusan Berneo)

MALUDAM: Kebimbangan nelayan akan kepupusan spesies ikan terubuk yang sinonim dengan negeri ini, mendapat perhatian serius apabila kementerian yang bertanggungjawab mencadangkan supaya kajian proses membiak dan menyimpan benih ikan itu dijalankan segera.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia Datuk Rohani Karim berkata, sebelum ini kajian terhadap spesies ikan unik itu telah dijalankan oleh Jabatan Pertanian di Lingga, Sri Aman tetapi kurang berjaya.

Ini kerana katanya, penyelidikan sukar dilakukan memandangkan ikan terubuk yang hanya boleh membiak di habitat semula jadi itu tidak sesuai diternak dalam sangkar atau kolam.

“Menyedari kemungkinan berlaku kepupusan spesies ikan terubuk negeri ini, maka Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) diharap dapat membuat kajian mengenai proses untuk membiak benih dan cara menyimpan benih dalam balang khas untuk kegunaan masa depan.

“Ia tidak mustahil kerana saintis JPM telah berjaya membuat penemuan baru bagi menyelamatkan dua spesies ikan air tawar yang hampir pupus iaitu temoleh dan kelah dengan cara menyimpan benih ikan-ikan ini dalam balang khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas merasmikan Pesta Maludam 2009 anjuran bersama Pejabat Daerah Betong dan Pejabat Daerah Kecil Maludam di Kampung Maludam, Pusa, semalam.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar memberitahu, penemuan terbaru itu membolehkan benih-benih ikan terutama daripada spesies terancam dapat disimpan dalam balang cyro di bawah suhu beku.

“Kajian juga dibuat untuk menghasilkan benih-benih ikan terancam melalui pengambilan sperma daripada ikan jantan demi memastikan keturunan ikan tidak pupus,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau diberi tanggungjawab untuk memperkasakan lagi sektor perikanan negara ini atas arahan ‘bos baru’ kementeriannya, Datuk Noh Omar.

“Saya memilih untuk memberi perhatian khusus dalam sektor perikanan kerana potensi maju bidang ini di Sara-wak, apatah lagi kita dianugerahkan dengan kekayaan hasil laut serta kemudahan canggih di Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Tanjung Manis,” katanya sambil menambah, Datuk Noh fokus kepada sektor pertanian dan Datuk Johari Baharum, penternakan.

Bagaimanapun, pemilihan lebih memfokuskan pembangunan sektor perikanan ia tidak bermakna beliau mengabaikan sektor pertanian dan penternakan di Sarawak.

Pesta Maludam 2009 yang dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri itu turut menyaksikan penyerahan geran peruntukan kira-kira RM100,000 termasuk bantuan berupa mesin jahit dan mi serta racun rumput kepada beberapa sekolah dan kampung sekitar daerah kecil Maludam.

Hadir sama, Timbalan Residen Betong Pathi Kerni, Pemangku Pegawai Daerah Betong Friday Belik, SAO Maludam Baijuri Hisham Spawi dan Penghulu Kampung Maludam Awang Karim Awang Amit.